Ayat bukan sahaja dapat
dilihat dari segi unsur yang mendirikan ayat tetapi juga dari segi susunan unsur-unsur itu. Jika dilihat
dari sudut ini, ayat terbahagi kepada dua bentuk, iaitu susunan biasa dan susunan
songsang. Ayat susunan biasa ialah ayat yang mendahulukan subjek dan
mengemudiankan predikat. Ayat-ayat dasar yang telah dibincangkan ialah ayat
susunan biasa. Jika susunan biasa itu diubah dan predikat didahulukan, maka ayat
demikian dikatakan ayat songsang. Pendepanan boleh melibatkan bahagian-bahagian
tertentu pada predikat, iaitu frasa kerja, frasa adjektif, atau frasa sendi
nama.
Perhatikan contoh-contoh
di bawah.
Adik-adik saya
mandi lagi di sungai itu.
|
Mandi lagi
adik-adik saya di sungai itu (FK mandi lagi -didepankan).
|
Ahmad ke Langkawi
dengan keluarganya.
|
Ke Langkawi Ahmad
dengan keluarganya (FS ke Langkawi didepankan).
|
Nota Tambahan
Susunan Ayat
SUSUNAN ayat bermaksud kedudukan subjek dan predikat dalam ayat. Setiap
ayat terdiri daripada binaan subjek dan predikat. Susunan ayat dalam bahasa
Melayu terdiri daripada dua, iaitu susunan biasa dan susunan songsang.
Susunan biasa ialah binaan ayat yang subjeknya terletak di hadapan ayat,
diikuti oleh predikat. Contohnya:
1. Aiman sedang membaca majalah.
Dalam ayat (i), subjeknya ialah Aiman, yang kedudukannya di bahagian
awal ayat. Sementara predikatnya ialah membaca majalah yang hadir selepas
subjek, yakni di bahagian belakang ayat. Inilah susunan ayat yang dikatakan
susunan biasa
Mengikut rumus tatabahasa bahasa Melayu, bahagian yang di hadapan ayat
itu yang dianggap lebih penting, lalu dijadikan sebagai judul. Dalam hal ini,
subjeklah yang lebih penting, iaitu Aiman. Bahagian lain dalam ayat itu, iaitu
predikat hanya memberikan keterangan kepada Aiman atau subjek ayat.
Bentuk ini bertepatan dengan hukum D-M dalam bahasa Melayu. Apakah
maksud hukum D-M ini? “D” bermaksud unsur yang diterangkan, manakala “M” pula
bermaksud unsur yang menerangkan, yakni menerangkan unsur “D”. Maka susunan
ayat dalam bahasa Melayu yang biasa mematuhi peraturan ini, iaitu peraturan
subjek diikuti oleh predikat. Namun demikian, dalam penggunaan bahasa sehari-hari, kadang-kadang kita
menekankan bahagian predikat dan tidak bahagian subjek ayat. Oleh itu, bahagian
predikat dibawa ke hadapan, manakala bahagian subjek dibawaka ke belakang,
iaitu berada selepas predikat. Dengan mengambil ayat (1) sebagai contoh, maka
predikat ayat sedang membaca majalah kita tukarkan susunannya. Maka lahirlah
ayat berikut:
2. Sedang membaca majalah/ Aiman.
Susunan sedemikian, iaitu predikatnya mendahului subjek, dikatakan
susunan
songsang. Dari segi rumus tatabahasa, bentuk susunan ayat yang begini
masih gramatis. Tetapi kedudukan subjeknya telah berubah daripada kedudukan
yang biasa. Inilah yang dimaksudkan dengan ungkapan “songsang”, iaitu dilihat
dari segi perubahan yang berlaku pada susunan subjek-predikatnya. Pada hakikatnya, tujuan penyongsangan
ayat adalah untuk memberi tekanan kepada predikat, dan tidak pada subjek. Dalam
ayat songsang, predikat ayat dianggap lebih penting, dan oleh itu menjadi
bahagian yang diterangkan (D). Harus diingat, dalam susunan ayat songsang, tidak semua unsur dalam
predikat ayat dikedepankan. Dengan kata-kata lain, penyongsangan boleh berlaku
sama ada pada seluruh predikat atau hanya pada bahagian-bahagian tertentu
sahaja. Dalam ayat contoh (2), seluruh predikat telah dikedepankan, iaitu
sedang membaca majalah. Tetapi dalam susunan biasanya, ayat itu boleh
dipanjangkan menjadi ayat (3) berikut:
3. Aiman sedang membaca majalah di
biliknya.
Dalam ayat (3), terdapat maklumat tambahan, iaitu unsur tempat (di
biliknya).
Terdapat dua cara untuk menyongsangkan susunan ayat ini. Satu cara
adalah dengan mengedepankan seluruh predikat lalu menghasilkan ayat (3a)
seperti yang berikut:
3. (a) Sedang membaca majalah di biliknya Aiman
Dalam ayat ini seluruh maklumat dalam predikat dianggap penting. Cara
yang kedua adalah dengan menganggap hanya fakta sedang membaca majalah sahaja
yang penting, lalu membawa hanya bahagia tersebut ke hadapan. Maka lahirlah
ayat (3b):
3. (b) Sedang membaca majalah, Aiman, di biliknya.
Demikianlah susunan ayat dalam bahasa Melayu. Unsur ini menjadikan ayat
bahasa Melayu pelbagai dan lebih menarik, selain menimbulkan kesan keindahan.
Unsur penyongsangan ayat juga merupakan satu sifat bahasa Melayu jati dan harus
kita fahami dan kuasai.
Sumber : http://www.tutor.com.my
No comments:
Post a Comment