Sunday 6 January 2013

Susunan Ayat ( Unsur-unsur yang terdapat dalam susunan ayat )


Ayat bukan sahaja dapat dilihat dari segi unsur yang mendirikan ayat tetapi juga dari segi susunan unsur-unsur itu. Jika dilihat dari sudut ini, ayat terbahagi kepada dua bentuk, iaitu susunan biasa dan susunan songsang. Ayat susunan biasa ialah ayat yang mendahulukan subjek dan mengemudiankan predikat. Ayat-ayat dasar yang telah dibincangkan ialah ayat susunan biasa. Jika susunan biasa itu diubah dan predikat didahulukan, maka ayat demikian dikatakan ayat songsang. Pendepanan boleh melibatkan bahagian-bahagian tertentu pada predikat, iaitu frasa kerja, frasa adjektif, atau frasa sendi nama.

Perhatikan contoh-contoh di bawah.
Adik-adik saya mandi lagi di sungai itu.
Mandi lagi adik-adik saya di sungai itu (FK mandi lagi -didepankan).

Ahmad ke Langkawi dengan keluarganya.
Ke Langkawi Ahmad dengan keluarganya (FS ke Langkawi didepankan).



Nota Tambahan
Susunan Ayat

SUSUNAN ayat bermaksud kedudukan subjek dan predikat dalam ayat. Setiap ayat terdiri daripada binaan subjek dan predikat. Susunan ayat dalam bahasa Melayu terdiri daripada dua, iaitu susunan biasa dan susunan songsang.
Susunan biasa ialah binaan ayat yang subjeknya terletak di hadapan ayat, diikuti oleh predikat. Contohnya:

1. Aiman sedang membaca majalah.
Dalam ayat (i), subjeknya ialah Aiman, yang kedudukannya di bahagian awal ayat. Sementara predikatnya ialah membaca majalah yang hadir selepas subjek, yakni di bahagian belakang ayat. Inilah susunan ayat yang dikatakan susunan biasa
Mengikut rumus tatabahasa bahasa Melayu, bahagian yang di hadapan ayat itu yang dianggap lebih penting, lalu dijadikan sebagai judul. Dalam hal ini, subjeklah yang lebih penting, iaitu Aiman. Bahagian lain dalam ayat itu, iaitu predikat hanya memberikan keterangan kepada Aiman atau subjek ayat.
Bentuk ini bertepatan dengan hukum D-M dalam bahasa Melayu. Apakah maksud hukum D-M ini? “D” bermaksud unsur yang diterangkan, manakala “M” pula bermaksud unsur yang menerangkan, yakni menerangkan unsur “D”. Maka susunan ayat dalam bahasa Melayu yang biasa mematuhi peraturan ini, iaitu peraturan subjek diikuti oleh predikat. Namun demikian, dalam penggunaan bahasa sehari-hari, kadang-kadang kita menekankan bahagian predikat dan tidak bahagian subjek ayat. Oleh itu, bahagian predikat dibawa ke hadapan, manakala bahagian subjek dibawaka ke belakang, iaitu berada selepas predikat. Dengan mengambil ayat (1) sebagai contoh, maka predikat ayat sedang membaca majalah kita tukarkan susunannya. Maka lahirlah ayat berikut:

2. Sedang membaca majalah/ Aiman.
Susunan sedemikian, iaitu predikatnya mendahului subjek, dikatakan susunan
songsang. Dari segi rumus tatabahasa, bentuk susunan ayat yang begini masih gramatis. Tetapi kedudukan subjeknya telah berubah daripada kedudukan yang biasa. Inilah yang dimaksudkan dengan ungkapan “songsang”, iaitu dilihat dari segi perubahan yang berlaku pada susunan subjek-predikatnya. Pada hakikatnya, tujuan penyongsangan ayat adalah untuk memberi tekanan kepada predikat, dan tidak pada subjek. Dalam ayat songsang, predikat ayat dianggap lebih penting, dan oleh itu menjadi bahagian yang diterangkan (D). Harus diingat, dalam susunan ayat songsang, tidak semua unsur dalam predikat ayat dikedepankan. Dengan kata-kata lain, penyongsangan boleh berlaku sama ada pada seluruh predikat atau hanya pada bahagian-bahagian tertentu sahaja. Dalam ayat contoh (2), seluruh predikat telah dikedepankan, iaitu sedang membaca majalah. Tetapi dalam susunan biasanya, ayat itu boleh dipanjangkan menjadi ayat (3) berikut:

3. Aiman sedang membaca majalah di biliknya.
Dalam ayat (3), terdapat maklumat tambahan, iaitu unsur tempat (di biliknya).
Terdapat dua cara untuk menyongsangkan susunan ayat ini. Satu cara adalah dengan mengedepankan seluruh predikat lalu menghasilkan ayat (3a) seperti yang berikut:

3. (a) Sedang membaca majalah di biliknya Aiman
Dalam ayat ini seluruh maklumat dalam predikat dianggap penting. Cara yang kedua adalah dengan menganggap hanya fakta sedang membaca majalah sahaja yang penting, lalu membawa hanya bahagia tersebut ke hadapan. Maka lahirlah ayat (3b):

3. (b) Sedang membaca majalah, Aiman, di biliknya.
Demikianlah susunan ayat dalam bahasa Melayu. Unsur ini menjadikan ayat bahasa Melayu pelbagai dan lebih menarik, selain menimbulkan kesan keindahan. Unsur penyongsangan ayat juga merupakan satu sifat bahasa Melayu jati dan harus kita fahami dan kuasai.
Sumber : http://www.tutor.com.my

AYAT TERBITAN


AYAT TERBITAN.
Maksud ayat terbitan :
  •       Struktur permukaan berpunca daripada suatu ayat yang lain kecuali menyerupai ayat dasar.Wujud pada peringkat struktur dalaman dan wujud dalam bentuk yang serupa.
  •         Proses gramatis melibatkan pelaksanaan rumus transformasi yang berfungsi mengubah struktur memperluas sesuatu unsur dalam ayat atau frasa.Proses transformasi mengakibatkan pengguguran,penyusunan dan perluasan.

Proses Penerbitan Ayat :

Proses Pengguguran.

Pengguguran unsur-unsur daripada binaan ayat pada peringkat struktur permukaan unsur yang digugurkan tidak lagi wajib.
  •              Pengguguran FN sebagai subjek. Kata ganti nama diri orang kedua dalam ayat perintah. Contoh, awak semua pergi dari sini = pergi dari sini.     
  •           Pengguguran subjek serupa dalam kata majmuk. Contoh,Dia sangat pandai kerana dia rajin belajar = dia sangat pandai kerana rajin belajar.
  •      Pengguguran frasa predikat. FK yang serupa. Contoh, Adik Ali belajar di England dan sepupunya belajar di England.= Adik Ali dan sepupunya belajar di England.
  •    FN yang serupa. Contoh, Bendera Malaysia lambing negara dan lagu kebangsaan lambing Negara = Bendera Malaysia dan lagu kebangsaan lambang Negara.      
  •          FA yang serupa. Contoh, Adik saya sangat rajin.Adik Ali sangat rajin = Adik saya dan adik Ali sangat rajin.
  •         Frasa Sendi Nama yang serupa. Contoh, Dua masih di kampung dan isterinya masih di kampung = Dia dan isterinya masih di kampung.

Pengguguran bahagian-bahagian frasa predikat. 
  •          Pengguguran oleh FN dalam ayat pasif. Contoh, Dia dipukul oleh bapanya = Dia dipukul.
  •    Pengguguran kata bantu yang serupa. Contoh, Dia boleh menyanyi dan dia boleh       menari = Dia boleh menyanyi dan menari.
  •       Penggunaan FN sebagai objek yang serupa. Contoh, Daud memukul penjahat itu dan Daud menumbuk penjahat itu = Daud memukul dan menumbuh penjahat itu.
  •       Penggunaan FN sebagai objek selepas KK yang membawa makna adjektif. Contoh, kejadian itu sunguh menakjubkan kami = kejadian itu sunguh menakjubkan
  •         Pengguguran FN yang menduduki frasa relatif. Contoh, Orang tua itu bapa saya.Orang tua itu memakai serban = Orang tua yang memakai serban itu bapa saya.
  •          Pengguguran KN yang berfungsi sebagai inti dalam FN
  •   FN penerangan bukan daripada kelas KN.KN boleh digugurkan. Contoh, kegiatan bersenam boleh menyihatkan badan = Bersenam boleh menyihatkan badan.

Maksud Pola Ayat Dasar & Pembahagiannya


Definisi dan Konsep Ayat Dasar :
  • Ayat dasar ialah ayat yang menjadi dasar atau sumber bagi pembentukan semua ayat lain dalam sesuatu bahasa.
  • Melalui pola ayat dasar, maka terbentuklah ayat-ayat yang lain seperti ayat tunggal,majmuk, aktif, pasif dan sebagainya.
  • Setiap ayat dasar terbentuk daripada dua unsure iaitu subjek dan predikat.

Pembahagian Pola Ayat Dasar.

Terdapat empat jenis pola ayat dasar iaitu :
      
   1.Subjek : FrasaNama (FN) +Predikat: FrasaNama (FN)
Contohayat :Maisarah pelajar universiti.
 
   2.Subjek :FrasaNama (FN) +Predikat: FrasaKerja (FK)
Contohayat :Amalina sedang tidur.

· 3.Subjek :FrasaNama (FN) +Predikat: FrasaAdjektif (FA)
Contohayat :Pemuda itu pemurah.

  4.Subjek :FrasaNama (FN) + Predikat: FrasaSendiNama (FSN)
Contohayat :Ibu di dapur.

DEFINISI AYAT


Apakah Definisi Ayat dalam Bahasa Melayu?...


Definisi Ayat
       Dalam memperkatakan tentang ayat,ia merupakan tahap tertinggi dalam penulisan dan komunikasi bahasa Melayu.Setiap tokoh bahasa memberikan pendapat yang berbeza tentang makna ayat.Antara mereka yang telah memberikan pendapat tentang makna ayat ialah Pendeta Za’ba memakai melalui bukunya Pelita Bahasa Melayu,Penggal 1 dalam permulaan nahu Melayu.Menurut Za’ba :
    
  ”ayat susunan perkataan yang sekumpul-sekumpul dengan tentu hujung pangkalnya dan tempat berhentinya serta memberi faham yang sempurna tiap-tiap sekumpul kata yang dikatakan itu....Maka tiap-tiap sekumpul perkataan itu ialah susunan yang sempurna maksudnya”
  ( Pelita Bahasa Melayu Penggal 1 dalam Kursus Menguasai Bahasa Melayu Mudah,2006 hlm.148 )
   
      Melalui maksud ayat yang diberi oleh Za’ba maka boleh dibuat kesimpulan bahawa ayat ini  bermakud susunan yang mempunyai hujung dan pangkal ayat yang boleh difahami oleh pembaca atau pendengar kerana ia merupakan kumpulan perkataan yang telah sempurna maksud.Mengikut Abdullah Hassan dan Ainon Mohd melalui buku mereka,ayat boleh didefinisikan sebagai :
“ Apabila kita bercakap,kita menggunakan perkataan-perkataan yang kita susun menjadi ayat...Ada ayat yang terdiri daripada dua patah perkataan sahaja...Tiap-tiap ayat mesti terdiri daripada dua bahagian 1: benda atau subjek,bahagian 2: cerita atau predikat.”
(Abdullah Hassan dan Ainon Mohd,dalam Kursus Menguasai Bahasa Melayu Mudah,2006 hlm 149 )
    Menurut Abdullah Hassan dan Ainon Mohd itu,dapat disimpulkan bahawa ayat tidak semestinya terdiri dari ayat yang panjang tetapi ayat boleh terdiri dengan hanya dua patah perkataan sahaja asalkan ia dapat difahami.Menurut Abdullah Hassan dan Ainon Mohd,ayat mestilah terdiri dari dua kompenen iaitu subjek dan predikat.
    Menurut Asmah Haji Omar pula sebagaimana yang disebut dalam bukunya Nahu Bahasa Melayu Mutakhir :
“ Ayat adalah unit yang paling tinggi dalam skala tatatingkat nahu.Ayat terdiri dari klausa yang disertai dengan intonasi ayat yang lengkap,yakni yang di mulai dengan kesenyapan dan diakhiri dengan kesenyapan dan intonasinya menyatakan bahawa ayat itu sempurna dan selesai”.
( Nahu Bahasa Melayu Mutakhir dalam Kursus Menguasai Bahasa Melayu Mudah,2006 hlm 149 )
    Menurut Asmah Haji Omar pula,aat adalah unit tertinggi dalam tatabahasa Melayu.Ia mestilah dimulakan dengan perbuatan senyap dan juga diakhiri dengan perbuatan senyap.Ayat juga mempunyai intonasi bagi mengambarkan maksud ayat tersebut.Mengikut Nik Safiah Karim dalam bukunya yang berjudul Tatabahasa Edisi Dewan Baharu yang dikarang secara bersama dengan Farid M.Onn,Hashim Musa dan Hamid Mahmood pula mendefinisikan ayat sebagai :
“Ayat ialah unit pengucapan yang paling tinggi letaknya dalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap.Ayat boleh terbentuk daripada satu perkataan atau susunan beberapa perkataan yang pengucapannya dimulakan dan diakhiri dengan kesenyapan
( Tatabahasa Dewan Edisi Baharu dalam  Kursus Menguasai Bahasa Melayu Mudah,2006 hlm 150 )
    Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu ini pula,ayat merupakan unit pengucapan yang paling tinggi yang boleh terbentuk walaupun dengan hanya beberapa patah perkataan.Sebagaimana pendapat Asmah Haji Omar,ayat ini dimulakan dan diakhiri dengan kesenyapan.Jika kita melihat dari beberapa pendapat yang dinyatakan diatas maka dapat kita simpulkan bahawa ayat merupakan susunan yang tertinggi dalam strata tatabahasa Melayu yang boleh terdiri dari dua atau lebih patah perkataan yang mana ia dimulai dengan kesenyapan dan diakhiri dengan kesenyapan.Pembentukan kata dalam disiplin bahasa dikenali sebagai binaan atau konsturksi.Binaan ayat terdiri daripada susunan unit kecil rangkai kata dalam disipli bahasa yang juga dikenali sebagai unsur atau konsituen.